Tuesday, December 18, 2012

Steve Jobs

Steve Jobs merupakan antara tokoh yang saya gemari disebabkan kepimpinannya yang boleh mendapat perhatian daripada semua pihak termasuk pelajar, majikan dan negara.

Percaya atau tidak Steve Jobs tidak mempunyai ciri-ciri bos idaman seorang pekerja. Beliau terkenal dengan gaya kepimpinan autokratik dan sukar untuk sesiapa bekerja di bawahnya. Mereka yang pernah bekerja dengannya mengatakan beliau bukan sahaja boleh mengubah keputusan yang telah dibuatnya dalam sekelip mata malah adakalanya beliau akan memalukan mereka yang tidak sependapat dengan pandangannya.


· Visi yang idealistik

Tetapi di sebalik itu, Steve Jobs telah berjaya memulihkan Apple yang di ambang kejatuhan, menaikkan keuntungan syarikat dan mengembalikan imej Apple. Harga saham Apple telah meningkat lebih dari 8 kali ganda semenjak beliau menerajui Apple.

Walaupun beliau tegas dan keras dalam memimpin mengikut caranya sendiri, Steve dilihat sebagai seorang pemimpin yang bijak dan mempunyai visi yang idealistik iaitu ‘menghasilkan komputer sebagai suatu alat untuk mengubah dunia’ dan ini membuatkan ramai yang tertarik untuk bekerja dengannya.

Pencipta iPod dan iPhone ini meletakkan tanda aras yang tinggi untuk inovasi dimana beliau merupakan CEO yang sangat obses dalam memastikan produk-produk Apple sempurna dalam setiap perkara. Steve Jobs memastikan produknya adalah yang terbaik kerana beliau percaya jika ‘anda menghasilkan sesuatu yang amat hebat, maka setiap orang akan mahu menggunakannya’.

Malah, dedikasi beliau pada penemuan baru dan kecemerlangan ini telah mencipta budaya yang menjadikan Apple sebagai simbol inovasi.


· Matlamat yang Jelas

Dalam pandangan Steve Jobs, matlamat akhirnya bukannya untuk membuat keuntungan tetapi Apple meletakkan dengan jelas matlamat utamanya ialah untuk ‘merekabentuk, membangunkan dan membawa kepada pasaran produk-produk yang lebih bagus’. Steve Jobs percaya dari situ, orang ramai akan menyukai produk-produknya, mendapatkannya dan dari situlah mereka menjana pendapatan.

Kerana itu, Steve Jobs memastikan agar mereka tidak hanya sekadar menghasilkan produk baru yang hanya sekadar berbeza dengan produk pesaing tetapi beliau memastikan produk yang dihasilkan lebih bagus serta mempunyai kualiti tinggi. Bagi Steve Jobs, sekadar menghasilkan produk yang berbeza dan baru itu adalah mudah.

Penekanan pada aspek ‘lebih bagus’ pada produk Apple mencerminkan pendirian syarikat tersebut untuk tidak mahu menjadi sebuah syarikat yang berterusan mengeluarkan produk yang baru hanya semata-mata kerana mahu terus ‘hidup’ tanpa memikirkan kesan jangka panjangnya. Bagi Steve Jobs, adalah satu pembaziran apabila sesebuah syarikat itu menggunakan segala sumbernya yang ada termasuk masa bekerja pekerja hanya untuk mengeluarkan produk yang baru yang tidak memberi nilai baru pada pembeli. 


· Inovasi, Satu Cara Hidup 

Inovasi merupakan jantung dan nyawa Apple. Steve Jobs menyatakan inovasi tidak dijadikan kenyataan yang ditampal di dinding One Infinite Loop, ibu pejabatnya tetapi ia dijadikan cara hidup di syarikat tersebut. Mereka bukan setakat berfikir bagaimana untuk menghasilkan produk baru yang lebih bagus seperti iPod dan iTunes Stores (yang merupakan ‘kedai jualan’ muzik kedua terbesar di US selepas Walmart).

Tetapi mereka juga berterusan mengenalpasti jalan bagi menambahbaik produk sedia agar menjadi lebih bagus, contohnya seperti iPad 2 yang lebih 33 peratus lebih nipis, 15 peratus lebih ringan dan 2 kali lebih laju dari iPad 1. Begitu juga dengan iPod Nano yang merupakan inovasi dari produk asalnya iaitu iPod.

No comments:

Post a Comment