Tuesday, December 18, 2012

Steve Jobs 2


Steve Jobs mewujudkan pembangunan produk baru di Apple bermula dari keberanian beliau menghasilkan produk yang benar-benar membuat diri sendiri teruja terlebih dahulu dan adakalanya ia bermula dengan dengan mempersoalkan kemampuan produk sedia ada. Sebagai contohnya idea penghasilan iPhone bermula dengan soalan-soalan pelik seperti di bawah:

“Apa yang kita benci ? Telefon bimbit. Apa yang kita akan ada dengan teknologi sedia ada ? Telefon bimbit dengan Mac di dalamnya. Apa yang kita mahu miliki ? Sebuah iPhone.”

Dan setiap usaha inovasi di Apple diambil begitu serius sehingga ia dipanggil usaha ‘moon shot’ di US. (‘Moon shot’adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada program angkasa lepas oleh NASA). Steve Jobs bersungguh-sungguh memfokuskan segala sumber yang ada untuk menghasilkan sesuatu produk walaupun kejayaannya di pasaran masih belum pasti sepertimana produk Apple TV, G4 Cube dan MacBook Air yang tidak berjaya di pasaran.

Namun, sebagai sebuah syarikat yang berteraskan inovasi, kegagalan adalah lumrah bagi Apple. Apa yang penting bagi beliau, setiap usaha penghasilan produk inovasi wajib dibuat dengan bersungguh-sungguh kerana apabila produk itu berjaya, kejayaan yang dicapainya adalah besar dan mengatasi kegagalan produk-produk terdahulu.

Ini dapat dilihat jumlah jualan iPhone yang mencecah 45 juta di seluruh dunia setakat tahun 2010. Manakala jualan iPad pula mencecah 3 juta unit hanya dalam masa 80 hari pelancarannya.

· Pasukan Kerja yang Istimewa

Tidak semua orang boleh bekerja dengan gaya kerja Steve Jobs dan tidak semua orang boleh bekerja dengan Apple walaupun mempunyai kemahiran dan pengalaman yang banyak. Apple memerlukan pasukan kerja yang mereka gelarkan sebagai ‘pasukan kerja yang istimewa’.

Setiap pekerja di Apple mempunyai fungsi tugas mereka sendiri tetapi terdapat ‘garisan halus’ di antara fungsi-fungsi tersebut di mana setiap dari mereka mesti mampu berkolaborasi atara satu sama lain walaupun mempunyai projek yang berlainan.

Steve Jobs juga hanya akan mengambil pekerja yang merasa tidak puas atau cukup dengan apa yang ada. Pereka produk Apple mestilah seorang fanatik dalam menghasilkan produk yang benar-benar sempurna sehinggakan bentuk skru di bawah MacBook pun dipastikan selari dengan rekabentuk keseluruhan MacBook tersebut. Steve Jobs memerlukan pereka produknya mempunyai kepercayaan (belief), nyalarasa (passion) dan komitmen dalam mencapai kesempurnaan.

· Kemampuan beremosi

Bagi jawatan jurutera, Steve Jobs bukan sekadar mencari mereka yang mempunyai kemahiran teknikal tetapi juga yang mempunyai kemampuan beremosi. Kemampuan beremosi di sini merujuk kepada nyalarasa dan daya tahan yang mampu mendorong diri jurutera tersebut untuk mengatasi segala halangan dari segi teknikal dan rekabentuk bagi memastikan sesuatu projek itu siap mengikut jadual.

Seperkara lagi, Steve Jobs mewujudkan tekanan di kalangan rakan sekerja di Apple adalah amat tinggi sehinggakan ketua sesuatu unit atau projek akan ditolak oleh orang bawahan sekiranya pencapaiannya lemah. Menurut Ketua Pegawai Operasi Apple iaitu Tim Cook, Apple bukan tempat bekerja bagi mereka yang mempunyai hati dan semangat yang lemah.

· Mampu Membentuk dan Mewujudkan Pasaran Baru

Bagi Steve Jobs, sesuatu produk yang dihasilkan tidak semestinya kerana pasaran memerlukannya, tetapi apa yang penting adalah untuk ‘menghasilkan produk yang pasaran yang mahukan sebelum mereka sendiri sedar mereka mahukannya’. Kerana itu Steve Jobs diketahui tidak berpegang pada kaedah kajian pasaran, grup fokus dan sebagainya tetapi dia menghasilkan produk yang beliau mahukan.

Sebagai contohnya, ketika iPhone dan iPad mula-mula diperkenalkan, adakah sesiapa yang mahukannya sebelum ia dijual? Tetapi apabila ia telah djual, hampir setiap daripada kita mahu memilikinya.

· ‘Cool factor’
Kemampuan berkomunikasi dan perhubungan awam Steve Jobs dikatakan faktor utama produknya berjaya di pasaran. Realitinya itu hanyalah faktor penyokong, faktor utama kejayaannya adalah faktor ‘cool’ (cool factor) yang ada pada produk tersebut yang terhasil dari inovasi kreatif, rekabentuk unik yang bergaya, mesra pengguna serta pada harga yang munasabah.

Seperkara lagi, dalam menghasilkan produknya, Steve Jobs sedar apa yang penting kepada majoriti pengguna adalah pengalaman menggunakan produk tersebut bukannya teknologi di sebalik produk tersebut. Pengguna lebih teruja dengan kemampuan iPod menyimpan sehingga 1,000 lagu bukannya dengan spesikasi pemacu keras (hard drive) di dalam iPod tersebut.



· Persepsi pasaran

Steve Jobs juga berjaya membentuk persepsi pasaran bahawa jenamanya adalah jenama berteknologi tinggi sepertimana jenama Chanel dan Polo dalam dunia fesyen. Produk-produk Apple telah menjadi produk yang mendefinasikan identiti pemiliknya di mana pemiliknya dipandang sebagai mereka yang inovatif, bijak, bergaya dan berbeza dengan orang kebanyakkan yang lain.



·

1 comment: